Posts

Showing posts from July, 2009

Gerak Gempur 2 UPSR

Image
Gerak gempur 2 UPSR bagi murid tahun 6 dijalankan pada 27 hingga 29 Julai 2009 (tiga hari). Semua murid tahun 6 wajib menduduki peperiksaan ini. Gerak gempur 2 UPSR ini dijalankan serentak di seluruh Negeri Sarawak. Tujuan ujian ini diadakan adalah untuk menguji sejauh mana prestasi sebenar murid tahun 6 dan juga sebagai persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan sebenar UPSR. Semoga semua murid tahun 6 dapat menempuhi peperiksaan dengan tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan jayanya. Semua warga SK Tudan mengharapkan yang terbaik dari anda semua. Buktikan kepada semua guru bahawa anda mampu dan anda adalah terbaik. Sekian.

Pemilihan Wakil Rumah Sukan

Image
Pada 18 Julai 2009, pemilihan wakil rumah sukan untuk tahap 1 telah dijalankan di padang SK Tudan. Pemilihan ini dilangsungkan serentak dengan perjumpaan ibubapa murid tahun 6. Semua murid tahap 1 iaitu murid tahun 1, 2 dan 3 terlibat dalam aktiviti ini. Mereka memulakan acara pemilihan pada jam 8.30 pagi. Pemilihan dilakukan untuk semua acara yang akan dipertandingkan pada hari sukan yang akan tiba nanti. Antara acar yang dipertandingkan ialah lontar peluru, 100 meter dan lompat tinggi. Untuk murid tahap 2 iaitu murid tahun 4,5 dan 6, pemilihan telahpun diadakan pada hari persekolahan iaitu pada waktu petang. Wakil setiap rumah sukan juga telah dipilih. Hari Sukan SK Tudan akan diadakan pada hujung tahun ini pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Semua murid, guru dan staf sokongan terlibat.

Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah-Bahasa Inggeris

Image
Pada 23 Julai 2009, Ketua Pentaksiran Kawasan Miri/Bakong, Pn Suzanne William telah hadir ke SK Tudan. Beliau datang tepat pada jam 10 pagi hingga 12 tengahari dan menggunakan perpustakaan sekolah sebagai pusat untuk Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS-BI). Kedatangan beliau ke sekolah kita telah disambut oleh Tuan Guru Besar, En Marzuki Abd Rahman. Beliau telah dijemput oleh Tuan Guru Besar ke bilik Guru Besar untuk berbincang dan seterusnya menandatangani buku pelawat. Untuk program ini, Panitia Bahasa Inggeris SK Tudan terlibat sepenuhnya memandangkan program PLBS ini adalah dikhususkan kepada Bahasa Inggeris. Antara guru Panitia Bahasa Inggeris SK Tudan yang terlibat adalah Cikgu Linda Ijok dan Cikgu Roslan. Jutaan terima kasih kepada Pn Suzanne William kerana sudi hadir ke SK Tudan. Diharapkan kehadiran beliau sedikit sebanyak memberi impak kepada sekolah kita.

Perjumpaan Ibubapa Tahun 6

Image
Perjumpaan Ibubapa tahun 6 dengan guru telah selamat dijalani pada 18 Julai 2009 yang lalu iaitu pada hari Sabtu minggu ke-3 bulan Julai. Perjumpaan ini melibatkan semua ibubapa dan penjaga murid tahun 6. Perjumpaan bermula seawal jam 8.30 pagi bertempat di blok akademi SK Tudan. Program ini bertujuan membincangkan kemajuan dan prestasi semasa pelajaran murid tahun 6 dengan ibubapa dan penjaga masing-masing. Surat jemputan bertarikh 15 Julai 2009 (JPS(W)/SKT(Perk)/153/08/02/10) telah diedarkan kepada semua murid tahun 6 seminggu sebelum program ini berlangsung. Menurut pandangan salah seorang ibubapa yang hadir pada hari tersebut, program seperti ini amat baik kepada murid dan perlu diteruskan pada masa-masa akan datang. Semoga dengan adanya program sedemikian akan memberi impak semaksima mungkin kepada murid tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR yang hanya tinggal tidak sampai 2 bulan lagi. Sekian.

Pembersihan Kawasan Sekolah

Image
Pembersihan kawasan SK Tudan telah dilakukan oleh Syarikat Semangat Jati Diri Enterprise pada cuti semester sekolah yang lalu iaitu pada 3 hingga 5 Jun 2009. Syarikat Semangat Jati Diri Enterprise merupakan syarikat kontraktor yang dilantik oleh sekolah untuk tugas-tugas membersih kawasan sekolah. Kerja-kerja pembersihan yang dijalankan adalah membuang baki pasir di kawasan tempat letak kereta, mencuci tingkap, membersih longkang, membaiki pagar yang rosak, membersihkan bilik guru serta pejabat pentadbiran dan pelbagai lagi kerja pembersihan sekolah. Kerja ini dilakukan semasa cuti sekolah adalah untuk memastikan kawasan yang terlibat betul-betul dibersihkan dan tidak mahu mengganggu murid-murid belajar. Pihak SK Tudan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Syarikat Semangat Jati Diri Enterprise kerana menjalankan pembersihan sekolah.

Kajian PKJR

Kajian Keberkesanan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) telah diadakan pada 23 Jun 2009 bertempat di makmal computer SK Tudan. Seramai 25 murid tahun 2 dan 25 murid tahun 4 telah dipilih untuk menjalani kajian tersebut. Kajian itu telah dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (RSRC) dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Pn Hamidah bt Khamis dan En Mohd Azizan Abd Aziz merupakan 2 orang wakil yang dihantar oleh RSRC UPM untuk menjalankan kajian tersebut keatas kesemua murid tahun 2 dan 4 yang terpilih itu. Kajian tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan dan masalah teknikal. Kerjasama dari pihak sekolah sangat membantu pasukan RSRC. Pihak SK Tudan merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam kajian tersebut. Sekian.

MAJLIS PERPISAHAN GURU J-QAF

Image
Pada 8 Julai 2009, Guru Pendidikan Islam dan Guru J-Qaf telah mengadakan majlis perpisahan untuk dua orang guru J-Qaf yang sempat berkhidmat di SK Tudan selama enam bulan. Mereka berdua ialah Ust Nik Mohd Ilman dan Ust Haris Fadila. Mereka dipindahkan adalah disebabkan guru J-Qaf di SK Tudan adalah terlebih dari bilangan yang sepatutnya. Ust Nik Mohd Ilman dipindahkan ke Sk Anchi, Miri. Beliau melapor diri di sekolah baru pada 13 Julai 2009. Manakala Ust Haris Fadila pula melapor diri di SK Jalan Astana, K uching pada 10 Julai 2009. Kedua-dua mereka masih dalam latihan namun, mereka berdua telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang guru dengan penuh dedikasi. Pihak SK Tudan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua guru J-Qaf ini kerana banyak memberi bakti kepada sekolah walaupun dalam jangka masa yang a gak pendek. Teruskan usaha dan jangan mudah putus asa. Sekian

Karnival Prasekolah Peringkat Zon 4 2009

Image
Setelah menjuarai Pertandingan Nyanyian dan Gerakan pada Karnival Prasekolah Peringkat Daerah Miri yang lepas, murid Prasekolah SK Tudan telah mewakili daerah Miri ke Peringkat Zon 4. Karnival Prasekolah Peringkat Zon 4 telah mengumpulkan semua wakil dari daerah-daerah Zon 4 di Eastwood Valley Golf And Country Club, Miri pada 29 Jun 2009 hingga 1 Julai 2009. 4 orang murid prasekolah lelaki dan 8 orang murid prasekolah perempuan telah dipilih mewakili sekolah kita dan juga daerah Miri. Mereka telah menjalani latihan selama 2 minggu dibawah bimbingan Cikgu Awatif bt Md Yusop, Cikgu Juliana bt Selamat, Cik Debra ak Uli dan Pn Norliza bt Bohari. Hasil kerja keras semua murid dan juga guru prasekolah, mereka berjaya mendapat naib johan. Johan pula disandang oleh SK Limbang dari daerah Limbang dan tempat ketiga pula disandang oleh SK Bintulu dari daerah Bintulu. Tahniah buat semua yang telah terlibat dalam Karnival Prasekolah Peringkat Zon 4 ini.

Karnival Prasekolah Peringkat Daerah 2009

Image
Karnival Prasekolah Peringkat Daerah 2009 telah diadakan di Dewan SK Anchi, Miri pada 22 Jun 2009. Seramai 5 orang murid prasekolah lelaki dan 11 orang murid prasekolah perempuan telah mewakili sekolah kita dalam kesemua 5 acara iaitu : 1) Nyanyian & Gerakan (7 perempuan & 4 Lelaki) 2) Hafazan (perempuan) 3) Bercerita (perempuan) 4) Mewarna (2 perempuan) 5) Sajak (lelaki) Mereka telah dilatih oleh Cikgu Awatif bt Md Yusop, Cikgu Juliana bt Selamat, Cik Debra ak Uli dan Pn. Norliza bt Bohari. Dalam karnival ini, sekolah kita telah berjaya mendapat juara dalam pertandingan Nyanyian & Gerakan seterusnya mewakili Prasekolah daerah Miri untuk peringkat Zon 4. Tahniah buat semua murid Prasekolah.