Subjek pendidikan seks di sekolah?
GENTING HIGHLANDS 31 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangannya kepada kerajaan dalam tempoh terdekat supaya subjek berhubung pendidikan seks di sekolah rendah dan menengah diwujudkan secara lebih formal dan serius.
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terlebih dahulu bagi mendapatkan kerjasama mengenainya.
"Seterusnya, saya akan mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet bagi menerangkan kesan baik pendidikan seks kepada golongan muda terutamanya remaja.
"Pendidikan seks berkenaan pernah diusahakan kerajaan sebelum ini, namun ia tidak mendapat sokongan pelbagai pihak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Ambang Merdeka 2009 sempena Hari Kemerdekaan ke-52 di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting Malaysia Berhad, Datuk Anthony Yeo.
Ahmad Shabery berkata, pendidikan seks di kalangan pelajar adalah penting bagi membantu mereka memahami proses pembiakan manusia.
"Mengejutkan apabila ada individu berusia 19 tahun, tetapi langsung tidak tahu apa itu seks dan kesan baik atau buruk aktiviti itu.
"Namun, pendidikan seks ini apabila diwujudkan, perlu dibuat menyeluruh dan maksimum supaya pelajar menerima maklumat lengkap," katanya.
Menurut beliau, pendedahan secara tidak menyeluruh atau terlalu minimum akan mengujakan perasaan ingin tahu yang akhirnya membuatkan pelajar bertindak mencubanya.
Pada masa yang sama, katanya, kajian menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan termasuk mengetahui tajuk yang sesuai, skop pendidikan dan tenaga pengajar.
Tambahnya, kebanyakan ibu bapa tidak mahu pendidikan seks dilaksanakan bukan kerana berniat menolaknya secara terus.
Tetapi, jelas beliau, mereka bimbang kesan buruk pengajarannya di samping kegagalan pihak tertentu menerangkan bentuk pendidikan seks yang akan diajar.Sumber : Utusan.com.my (klik)